Shuib pilih sepupu jadi ibu susuan Ayash

Shuib pilih sepupu jadi ibu susuan Ayash

PELAWAK dan usahawan, Shuib Sepahtu memilih sepupu sendiri yang baru melahirkan anak enam bulan lalu sebagai ibu susuan kepada bayinya, Ayash Affan.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 37, berkata keputusan itu dibuat selepas berbincang bersama ahli keluarganya.

“Alhamdulillah ada dalam kalangan keluarga saya iaitu sepupu baru sahaja melahirkan anak dalam enam bulan lalu,” katanya.

Dalam pada itu, suami Allahyarham Siti Sarah Raissuddin itu menjelaskan alasan dia memilih ahli keluarganya berbanding orang luar kerana bimbang terhadap masa depan Ayash apabila dewasa nanti.

“Takut juga masa depan nanti kita tidak tahu apa akan jadi. Takut terkahwin pula, jadi masalah nanti. Jadi saya ambil dalam kalangan keluarga (ibu susuan),” katanya.

Sehubungan itu, Shuib turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada beberapa rakan artis dan rakyat Malaysia yang sudi membantunya untuk mendapatkan bekalan susu ibu.

“Bukan sahaja Tilla (Syatilla), ramai lagi rakan artis yang saya pun tak sebut nama dia. Ramai juga orang yang saya tak kenal tapi sudi nak bantu. Susu ibu adalah susu yang terbaik untuk bayi.

“Saya harap Allah SWT balas ganjaran kepada semua orang yang ada sejak hari pertama bersama-sama dengan saya. Terima kasih juga yang doakan kekuatan untuk diri saya,” katanya.

Shuib juga meminta orang ramai sedekah Al-Fatihah jika merindui dan teringat akan arwah isterinya.

“Kalau ada perasaan seperti saya yang merindukan arwah, jangan terlalu berduka, takut dia sedih. Bila teringat sedekahkan Al-Fatihah,” katanya.

Baru-baru ini, Shuib meluahkan kerisauan memikirkan tentang susu ibu yang diperlukan Ayash selepas isteri tercinta, Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos lalu.

Siti Sarah menghembus nafas terakhir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia
akibat Covid-19. – Malaysiapost

Komen