Sultan Kedah dukacita kes Covid-19 tinggi

SULTAN Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menzahirkan dukacita terhadap peningkatan kes Covid-19 di negeri itu yang kekal empat angka setiap hari sejak sebulan lalu.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Bakar Din hari ini, baginda bertegas agar kerajaan memberi pertimbangan wajar untuk memperluaskan vaksinasi kepada populasi yang layak.

“Sehingga 16 Ogos (semalam) kadar vaksinasi bagi populasi dewasa di negeri ini berusia 18 tahun ke atas yang lengkap dua dos baru mencecah 31.8 peratus.

“Mereka yang memperoleh satu dos adalah sebanyak 55 peratus. Ini menunjukkan sekiranya suatu langkah yang tidak serius diambil Kedah mungkin lewat mencapai imuniti kelompok.

“Kerajaan harus beri pertimbangan wajar untuk memperluaskan vaksinasi memandangkan hanya kaedah berkenaan dilihat berkesan mengawal kadar jangkitan,” titah baginda.

Justeru, baginda menyeru hospital swasta, klinik perubatan am serta seluruh badan korporat dan swasta turut serta berganding bahu memberi sokongan, bantuan dan sumbangan yang sesuai dengan fungsi, peranan dan kemampuan masing-masing bagi memangkin peningkatan kadar vaksinasi.

“Baginda juga bertitah agar vaksin dapat dibekalkan dengan jumlah yang lebih banyak oleh kerajaan Persekutuan agar Kedah dapat mencapai imuniti kelompok dengan lebih awal serta sektor ekonomi dapat dipulihkan dengan lebih cepat,” katanya.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan dan sukarelawan di hospital dan pusat vaksin Covid-19 di seluruh Kedah yang bertungkus-lumus menjalankan tugas yang diamanahkan.

“Baginda berbangga dengan kegigihan mereka yang menjalankan tugas tanpa penat dan lelah serta mendoakan agar pengorbanan mereka ini mendapat ganjaran yang setimpal di sisi Tuhan.

“Di samping itu baginda Sultan turut bertitah agar semua rakyat Kedah menjaga diri dan keluarga masing-masing supaya terhindar daripada dijangkiti Covid-19.

“Sentiasalah mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dari masa ke semasa,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights