KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap semua parti politik dapat menerima baik titah saranan Yang di-Pertuan Agong behubung pembentukan kerajaan perpaduan.
Asyraf berkata, perkara itu penting demi menangani pandemik dan menguruskan kesejahteraan rakyat sekali gus menurunkan suhu politik negara.
“Moga semua Parti-Parti politik dapat menerima baik Titah saranan Yang di-Pertuan Agong agar berkompromi untuk secara bersama membentuk Kerajaan Perpaduan.
“(Ia) demi menangani pandemik dan mengurus Kesejahteraan rakyat, sekaligus menurunkan suhu politik dalam negara,” katanya dalam kenyataan ringkas di Facebook.
Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan semua parti bersetuju untuk bekerjasama dan memulakan politik baharu.
Anwar berkata demikian ketika mengulas mengenai pertemuan antara ketua-ketua parti politik dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, petang tadi.
Menurut Anwar, keputusan itu dibuat secara konsensus selepas mengadakan pertemuan selama dua jam dengan Al-Sultan Abdullah.
Pertemuan tersebut turut disertai oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agong. – Malaysiapost