Najamuddin Mohd Nor
PERTEMUAN Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan Ahli Parlimen BN malam ini sebulat suara bersetuju untuk mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon tunggal Perdana Menteri daripada parti itu.
Menurut sumber Umno, kata sepakat itu dicapai dalam pertemuan yang berlangsung malam ini di ibu negara.
Pemimpin Umno yang ditemui selepas mesyuarat itu menyerahkan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengumumkan keputusan berkenaan.
Jelasnya langkah itu diambil bagi mengelak perpecahan Umno pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Majoriti sebulat suara bersetuju untuk mencalonkan Ismail Sabri sebagai calon tunggal Perdana Menteri daripada Umno, BN,” katanya, malam ini.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pula mengesahkan Ismail Sabri dipilih sebagai calon Perdana Menteri.
“Ya, Ismail Sabri,” katanya ringkas sebelum kepada wartawan sebelum beredar.
Terdahulu, Umno dijangka memberi laluan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Menurut sumber Umno, situasi terbaru itu dicapai sebagai menyekat usaha Pakatan Harapan (PH) untuk menobatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Perkembangan terbaru menyaksikan 11 daripada 15 Ahli Parlimen Umno termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin kini sedia memberi sokongan kepada Ismail Sabri.
Dalam pada itu, seorang lagi ahli MKT Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri.
Katanya, kedudukan Ismail Sabri sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri melayakkan beliau untuk dicalonkan bagi jawatan itu.- Malaysiapost