SEBANYAK 225 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan 13,302 kes kematian setakat ini sejak wabak berkenaan melanda negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kematian baharu itu 198 adalah warganegara dan 27 bukan warganegara serta 35 daripadanya kes kematian luar hospital (BID) iaitu 27 warganegara dan lapan bukan warganegara.
Menurutnya, keseluruhan kes kematian hari ini membabitkan 74 di Selangor, Johor (37), Kuala Lumpur (24), Sabah (18), Pulau Pinang (15), Kedah (14), Perak (sembilan), Negeri
Sembilan (lapan), Melaka (tujuh), masing-masing enam kes di Kelantan dan Pahang, lima kes di Terengganu dan dua di Sarawak.
“Kes sembuh baharu adalah 19,680 kes (1,198,726 kes kumulatif) berbanding kes baharu 22,242 kes (1,466,512 kes kumulatif).
“Kes baharu hari ini membabitkan empat kes import iaitu seorang warganegara dan tiga bukan warganegara.
“Kes baharu membabitkan 18,243 warganegara dan 3,995 bukan warganegara dengan keseluruhan 254,484 kes masih aktif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 1,060 kes dan daripada jumlah itu 540 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Jumlah kluster yang dikesan setakat ini adalah 4,306 kluster dengan kluster baharu sebanyak 49 kluster dan kluster yang telah tamat 2,920 kluster, manakala 1,386 kluster masih aktif,” katanya. – Malaysiapost