DARI permulaan fasa kedua gelombang ketiga Covid-19 yang melanda negara sejak 28 Mac lalu, sebanyak 2,913 kluster direkodkan dengan sebahagian besar daripadanya membabitkan kluster tempat kerja dan komuniti.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 1,549 kluster atau 53.2 peratus adalah kluster tempat kerja dan 880 kluster iaitu 30.2 peratus kluster komuniti.
“Sejak permulaan fasa kedua gelombang ketiga sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaporkan sebanyak 880 kluster komuniti dengan 439 kluster masih aktif.
“Negeri yang melaporkan kluster komuniti tertinggi adalah Kelantan sebanyak 239 kluster iaitu 27.2 peratus, diikuti Sarawak (171 kluster; 19.4 peratus) dan Sabah (94 kluster; 10.7 peratus),” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, kluster komuniti itu berpunca daripada penularan jangkitan dalam kalangan keluarga atau kontak rapat seperti aktiviti ziarah keluarga atau penularan di kawasan kediaman (481 kluster); komuniti di rumah panjang (44 kluster); dan majlis sambutan perayaan (55 kluster).
Menurutnya, bagi kluster kategori tempat kerja pula, bermula 28 Mac lalu hingga semalam, KKM telah melaporkan sebanyak 1,549 kluster tempat kerja yang masih aktif dan di bawah tempoh pemantauan wabak.
“Negeri yang melaporkan kluster tempat kerja tertinggi adalah Selangor (414 kluster; 26.7 peratus), Johor (322 kluster; 20.8 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (149 kluster; 9.6 peratus).
“Tiga sub-kluster tempat kerja tertinggi adalah sektor pengilangan (780 kluster); sektor perkhidmatan (260 kluster); dan sektor pembinaan (181 kluster),” katanya.
Beliau berkata, usaha untuk menurunkan kluster di tempat kerja memerlukan penekanan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja, pemantapan vaksinasi di kalangan pekerja serta penguatkuasaan yang tegas.
“Kita wajar mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa sebelum ini sehingga membawa kepada banyak kematian akibat Covid-19 serta penutupan pelbagai sektor ekonomi dan sosial berikutan peningkatan kluster di tempat kerja dan kluster komuniti.
“Kita seharusnya sama-sama mengambil rasa tanggungjawab dalam memelihara negara daripada terus dibelenggu oleh pandemik Covid-19,” katanya. – Malaysiapost