Bertenang, yakin dengan keputusan Agong

Bertenang, yakin dengan keputusan Agong

SEMUA pihak diminta bertenang dan yakin dengan keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pemilihan Perdana Menteri baharu.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai rakyat perlu meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada kebijaksanaan, kearifan dan kecaknaan tuanku.

“Sementara Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan memilih Perdana Menteri marilah kita semua sebagai rakyatnya bertenang. Meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada kebijaksanaan, kearifan dan kecaknaan Kebawah Duli Tuanku.

“Mendoakan Seri Paduka Baginda dikurniakan petunjuk oleh Allah SWT.

“Merafak setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih Kedaulatan Raja-Raja Pemerintah sebagai tunjang masa depan negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, kini adalah masanya untuk memastikan negara kembali ke landasan yang benar.

“Terima kasih kepada Yang Maha Esa telah membantu perjuangan ini. Perjuangan demi menyelamatkan rakyat dan negara. Namun, perjuangan itu belum terhenti. Bukan setakat di situ.

“Kini masa untuk memastikan negara kembali ke landasan yang benar. Kembali makmur dan sejahtera seperti yang pernah kita kecapi. Sekali lagi kita berharapkan pertolongan Allah SWT selepas segala daya upaya.

“Demi Malaysia terselamat daripada kedukaan dan kesedihan angkara pandemik yang belum berkesudahan,” katanya.

Beliau juga meminta seluruh ahli Umno supaya bersatu dan bersama-sama mengharungi keadaan ketika ini dengan jaya.

“Berdoa supaya segala yang baik untuk parti keramat agama, bangsa dan negara kurniaan Allah SWT.

“Kita mengerti apa yang telah berlaku dan apa yang perlu dilakukan semata-mata untuk rakyat dan negara,” katanya. – Malaysiapost

Komen