BN kumpul surat akuan, hantar secara individu pilih Perdana Menteri

AHLI Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) secara individu akan menghantar surat akuan menyatakan secara terang dan jelas pilihan mereka menamakan seorang ahli Dewan Rakyat yang diberi kepercayaan menjadi Perdana Menteri.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pada masa ini peguam Umno sedang menyiapkan surat akuan bersumpah itu dan mengumpulkannya.

“Surat akuan itu akan diserahkan secara individu, buat masa ini peguam kita sedang menguruskan dan mengumpulkannya,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, mengeluarkan notis meminta semua ahli Dewan Rakyat menyerahkan satu surat akuan menyatakan secara terang dan jelas mengenai seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberi kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri.

Surat akuan itu perlu diserahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatnya sebelum jam 4 petang ini, untuk perhatian Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Kolonel Datuk Nazim Mohd Alim.

Terdahulu, Umno dan BN dalam pertemuan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam tadi, bersetuju menamakan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai satu-satunya calon dinamakan menjadi Perdana Menteri.

Perkara itu disahkan Ahmad menerusi ciapan di Twitternya.

“Berpadu bersama Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan; Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak & Ahli-Ahli MKT Umno.

“Dihantar hanya satu nama sebagai calon #PerdanaMenteri oleh #AhliParlimen UMNO/BN pada 17/8/21 iaitu Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob. Moga ALLAH SWT memberkati usaha kami,” tulisnya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights