Facebook Ismail Sabri dibanjir ucapan tahniah awal dari netizen

HARI ini ruangan komen di laman Facebook rasmi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dibanjiri ucapan tahniah daripada warga netizen berhubung ‘desas-desus’ Ahli Parlimen Bera itu kemungkinan dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Menerusi satu hantaran Facebooknya pagi tadi, Ismal Sabri memuat naik gambar beliau sedang bersarapan, sementara isterinya sedang memangku kucing dipanggil ‘Oyen’.

“Baru nak breakfast berdua.. Si oyen ni nak join jugak.” tulis Ismail Sabri.

Hantaran dimuat naik kira-kira satu jam lalu itu mendapat 72,000 tanda suka dan lebih 11,000 komen ditinggal warga netizen yang kebanyakannya menyambut baik sekiranya benar beliau dilantik sebagai Perdana Menteri baharu.

Malah tidak kurang juga meminta, Ismail Sabri menambahbaik peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dianggap tidak relevan dan membebankan rakyat termasuk isu ‘pintu belakang’ berkaitan operasi kilang hangat diperkatakan ketika pemerintahan Perikatan Nasional (PN).

“Kalau benar khabar angin yang kami terima ini, buatlah yang terbaik YB mengikut landasan Islam. Bukan rakyat sahaja yang memerhati, yang lebih penting Allah yang akan perhati. Pilihlah menteri kabinet yang competent. Yang ada skandal dan isu jangan lantik jadi menteri kabinet,” tulis Izzah Jasmon.

“Good luck DS… Kalau btl diberi peluang jadi PM… Jangan lupa beli lock pintu yg elok sikit… Tak pun tak payah buat pintu terus,” kata Fariz Ibrahim.

“Bakal #PM9 ..nanti bila dah angkat sumpah, pilih menteri-menteri kabinet yang boleh buat kerja..kang tak pasal-pasal rakyat yang kena buat keja untuk diaorg.. kena tegas tu pasti..moga-moga tiada lagi pertukaran #PM sehingga #PRU15 nanti. focus on Rakyat, Negara, ekonomi paling penting selamat maju jaya Dato Sri Ismail Sabri Yaakob,” tulis Alif Danis.

Malam tadi, Umno mengadakan mesyuarat bagi memutuskan calon Perdana Menteri setelah Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.

Mesyuarat tersebut pada permulaannya dibuat bersama Ahli Majlis Tertinggi Umno, kemudian disambung pula bersama dengan Ahli Parlimen BN.

Semalam, media melaporkan semua Ahli Dewan Rakyat diminta menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan secara terang dan jelas mengenai seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberi kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri.

Surat akuan itu perlu diserahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatnya sebelum jam 4 petang hari ini, untuk perhatian Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Kolonel Datuk Nazim Mohd Alim.

Notis mengenai perkara itu dikeluarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights