GPS sudah kemuka satu nama calon PM kepada Agong

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) telah mengemukakan satu nama sahaja yang disokong sebagai Perdana Menteri baharu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, berkata sokongan terhadap calon berkenaan dibuat secara sebulat suara oleh pemimpin GPS.

Namun, Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak berkata, nama yang dikemukakan itu tidak boleh didedahkan kerana tidak mahu mendahului Yang di-Pertuan Agong, lapor Harian Metro.

“Kami sudah mengemukakan nama kepada Istana Negara, tetapi saya tidak boleh mendedahkan siapa, saya tidak boleh mendahului Agong,” katanya selepas perjumpaan khas bersama Ahli Parlimen GPS di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuching, hari ini.

Ditanya sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim ada berhubung dengannya bagi meraih sokongan GPS terhadap Pakatan Harapan (PH), Abang Johari berkata ia tidak berlaku.

Sementara itu, Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof juga enggan mendedahkan nama calon Perdana Menteri Ke-9 yang disokong GPS.

“Tunggu Agong umum, kita tidak mahu masuk campur urusan pemilihan Perdana Menteri,” katanya.

Pada masa sama, semua Ahli Parlimen GPS juga tidak akan menghantar sokongan bertulis menyatakan calon pilihan Perdana Menteri baharu kepada Speaker Dewan Rakyat hari ini kerana enggan mencampuri urusan Yang di-Pertuan Agong.

GPS yang menggabungkan empat parti tempatan Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) mempunyai 18 kerusi Parlimen. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights