Hanya 0.03% kematian individu lengkap vaksin
HANYA empat kes iaitu 0.03 peratus kematian akibat Covid-19 di Malaysia melibatkan individu yang telah melengkapkan dua dos vaksinasi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Maklumat itu berdasarkan analisis data klinikal terbaharu yang didedahkan Dr Noor Hisham yang dikongsikan menerusi Twitternya.
“Analisis data klinikal terbaharu kami berkaitan ‘peningkatan kematian’ menunjukkan daripada keseluruhan 12,993 kematian direkodkan, 80 kes sudah menerima satu dos vaksin (0.6%) dan empat kes sudah melengkapkan vaksinasi (0.03%),” katanya.
Dalam pada itu, dalam hantaran berasingan di Twitter, beliau sekali lagi memberi jaminan bahawa vaksin Covid-19 berkesan terhadap varian Delta.
Ia berikutan laporan penurunan kes kemasukan pesakit Covid-19 ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang yang dilaporkan berkurangan lebih 50 peratus sejak seminggu lepas.
Pengarah Kesihatan HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata, sebelum ini hospital menerima sekitar 400 kes harian Covid-19 namun kini kes menurun kepada 170 kes sepanjang tempoh itu.
Selain itu, bilangan pesakit kategori 5 di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) yang merekodkan seramai 71 orang Julai lalu, kini dilihat menurun menjadi 26 orang pada bulan Ogos ini.
Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, penurunan itu sejajar dengan liputan imunisasi dos kedua dewasa yang semakin meningkat. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/08/18/covid-19-kes-kategori-5-di-htaa-menurun-dr-nor-azimi/