‘Hanya seorang yang tidak sokong Ismail Sabri calon PM’ – Zahidi

‘Hanya seorang yang tidak sokong Ismail Sabri calon PM’ – Zahidi

AHLI Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata hanya seorang Ahli Parlimen Umno difahamkan tidak menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, individu tersebut antara yang disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri sebelum ini.

Bagaimanapun jelas Zahidi, tindakan itu tidak memberi kesan kepada keputusan malam tadi kerana majoriti Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyokong satu nama sahaja.

“Sebab dia tidak ambil borang yang diberi semalam, jadi saya fikirkan dia tidak menyokonglah.

“Pada saya, ia tidak beri kesan pun pada keputusan semalam sebab semua menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Mengulas lanjut, Zahidi turut memaklumkan semua Ahli Parlimen BN telah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) dalam mesyuarat malam tadi dengan sebulat suara menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri.

Katanya, kesemua SD tersebut akan diserahkan kepada pihak Istana Negara hari ini melalui peguam yang dilantik bagi menguruskan perkara berkenaan.

“Semua dah tandatangan surat tersebut dan sebulat suara menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri, peguam yang akan uruskan nanti,” katanya.

Malam tadi, Umno mengadakan mesyuarat bagi memutuskan calon Perdana Menteri setelah Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.

Mesyuarat tersebut pada permulaannya dibuat bersama Ahli Majlis Tertinggi Umno, kemudian disambung pula bersama dengan Ahli Parlimen BN.

Semalam, media melaporkan semua Ahli Dewan Rakyat diminta menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan secara terang dan jelas mengenai seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberi kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri.

Surat akuan itu perlu diserahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatnya sebelum jam 4 petang hari ini, untuk perhatian Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Kolonel Datuk Nazim Mohd Alim.

Notis mengenai perkara itu dikeluarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun. – Malaysiapost

Komen