AHLI Parlimen Bera yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dikatakan mendapat sokongan majoriti 114 Ahli Parlimen untuk dinobatkan sebagai Perdana Menteri Kesembilan.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa Ahli Parlimen Umno dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.
Terdahulu tular tangkap layar mesej WhatsApp yang dipercayai daripada Setiausaha Agung Umno itu memaklumkan semua Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) akan ke Istana Negara pagi esok.
Kandungan mesej berkenaan turut mengatakan hanya kumpulan yang menang sahaja dijemput untuk pengesahan sokongan sekali lagi.
“Hanya kumpulan yang menang sahaja dijemput untuk pengesahan sekali lagi di Istana Negara. Bererti DS Ismail Sabri dengan izin Allah adalah calon PM yang menang.
“Ini tentu juga berkat kesepaduan bersama, diketuai oleh Presiden Umno, Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib, Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan semua MP kita. Moga Allah memberkati perjuangan mulia untuk rakyat ini,” menurut kandungan mesej yang tular itu.
Kesemua Ahli Parlimen Umno dan BN difahamkan akan bergerak dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ke Istana Negara bermula 10 pagi esok dengan menaiki bas.
Sementara itu, dua Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno iaitu Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii yang dihubungi Malaysiapost turutmengesahkan perkara itu.
PAS juga turut mengesahkan bahawa Ahli Parlimen parti itu dipanggil ke Istana Negara esok.- Malaysiapost