AHLI Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menggesa supaya Muafakat Nasional (MN) antara Umno dan PAS disemarakkan semula demi penyatuan dan perpaduan ummah.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, MN juga boleh dijadikan lebih inklusif lagi selari dengan hasrat Yang di-Pertuan Agong.
“Kalau ada satu perkara yg kita perlukan sekarang, adalah menyemarakkan semula semangat MN seperti mana kita persetujui Mei 2020.
“Kali ini kita jadikannya lebih inklusif lagi selari hasrat titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau turut menyeru semua pihak saling memaafkan kerana ia lebih baik demi memperkasakan penyatuan dan perpaduan ummah.
Annuar sebelum ini dilihat antara kepimpinan Umno yang kuat mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan sokongan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal menjadi Perdana Menteri. – Malaysiapost