Kakitangan KKM maut nahas, 2 lagi cedera

SEORANG pemandu maut manakala dua kakitangan cedera selepas van Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terbabit dalam kemalangan di Kilometer 9.7 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Skudai, Johor, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 11.58 pagi, van dinaiki empat kakitangan KKM itu dalam perjalanan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kluang ke Hospital Permai, Tampoi di sini untuk mengambil bekalan vaksin.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor berkata, van Toyota Hiace itu dikatakan merempuh belakang sebuah lori Hino dari arah sama menyebabkan pemandu tersepit dan mengalami kecederaan parah sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, lima jentera termasuk sebuah Fire Rescue Tender (FRT), dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), dan dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dengan kekuatan seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan penyelamat (BBP) Larkin dan BBP Skudai ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan.

“Sebaik tiba di lokasi, empat kakitangan KKM ditemukan terperangkap dalam van berkenaan dan anggota bomba menggunakan alatan pemotong khas untuk mengeluarkan semua mangsa dalam tempoh 11 minit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kakitangan KKM yang terbabit dalam kemalangan dikenali pemandu van, Shamsul Shamsuri, 49; Rosnilam Satari, 48; Azlina Mohd Rawi, 41 dan Amelia Pek Ying Hung, 26 manakala pemandu lori dikenali Mohd Asmawi Mohd Marzuki, 31.

“Mangsa yang maut dan cedera dibawa ke hospital berdekatan untuk tindakan lanjut manakala operasi tamat pada jam 1.24 tengah hari,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights