BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kerajaan baharu mencari punca kegagalan ‘lockdown’ di Malaysia berbanding negara luar.
Najib berkata, kerajaan baharu juga dinasihatkan tidak terus mengekalkan pendekatan lama yang tidak berhasil secara berpanjangan.
“Pengerusi baharu MKN dalam kerajaan baharu perlu mencari punca dan perbezaan pelaksanaan lockdown di Malaysia gagal berbanding negara luar.
“Jangan kekalkan dan pandang sahaja pendekatan lama yang tidak berhasil secara berpanjangan,” katanya dalam hantaran Facebook.
Dalam pada itu, Najib berkata, India dan Indonesia masing-masing dilanda virus Covid-19 baharu iaitu varian delta namun kes jangkitan dan kematian akibat wabak itu dilihat menurun selepas ‘lockdown’ dilaksanakan.
Sebaliknya, katanya, kes dan kematian di Malaysia pula semakin meningkat jadi apakah kesilapan ia berlaku.
“India dilanda varian Delta. India buat lockdown. Kes dan kematian turun. India buka semula. Menteri-menteri India mengaku kesilapan dan letak jawatan.
“Negara jiran Indonesia dilanda varian Delta. Indonesia buat lockdown. Kes dan kematian turun. Indonesia mula buka semula. Presiden dan menteri-menteri Indonesia mengaku kesilapan dan minta maaf.
“Kes dan kematian Covid Malaysia pula semakin naik dan tetap tinggi semakin lama kita laksanakan lockdown. Sehingga kes aktif Covid Malaysia cecah suku juta pesakit semalam,” katanya.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pekan itu berharap Pengerusi baharu MKN dapat mencari sebab dan perbezaan kenapa lockdown di Malaysia gagal tetapi negara-negara lain mampu berjaya walaupun menghadapi cabaran yang sama.
“Adakah kita perlu buat lockdown amat ketat bersama bantuan wajar untuk 7 hari hingga 10 hari bagi negeri-negeri yang masih lapor kes tinggi dengan kadar vaksinasi rendah ataupun melakukan saringan besar-besaran secara percuma mengikut daerah?
“Kena perbetulkan sebab Rakyat sudah dikurung 100 hari sejak PKP 3.0 bermula – bersamaan dengan 3 bulan 8 hari.
“Pelaksanaan lockdown bukan satu tempoh yang pendek atau adil untuk menghalang rakyat mencari rezeki,” katanya – Malaysiapost