Kes1MDB: Bekas CEO nafi salah guna kedudukan

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Mohd Hazem Abd Rahman menafikan dakwaan beliau menggunakan kedudukannya untuk menyeleweng dana syarikat berkenaan.

Mohd Hazem, 49, menafikan perkara itu ketika disoal peguam Tania Scivetti yang mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Ketika disoal Scivetti bahawa beliau dipilih secara peribadi oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low untuk menggunakan kedudukannya bagi melaksanakan tindakan antaranya mengarahkan peguam 1MDB, Jasmine Loo untuk menyediakan resolusi iaitu eksibit P559, lapor Berita Harian.

Mohd Hazem menjawab, “Tidak bersetuju.”

Scivetti: Anda juga menggunakan kedudukan anda untuk memastikan Ahli Lembaga Pengarah menandatangani resolusi yang menjejaskan 1MDB dan pemegang saham.

Mohd Hazem: Tidak bersetuju

Mohd Hazem juga tidak bersetuju dengan cadangan Scivetti bahawa tindakan beliau menandatangani resolusi itu tanpa rasa ragu-ragu adalah salah satu perkara yang menguntungkan Jho Low.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata Mohd Hazem adalah dalang sebenar di sebalik penyelewengan dana 1MDB.

Muhammad Shafee: Anda juga melakukan jenayah pengubahan wang haram. Anak guam saya tidak seharusnya berada di sini (dituduh), sebaliknya anda dan yang lain kerana memindahkan dana daripada Malaysia ke dalam entiti luar yang tidak diiktiraf serta menyembunyikan hasil aktiviti haram.

Kepada hujah itu, Mohd Hazem menjawab tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Muhammad Shafee.

Terdahulu pada prosiding pagi, perbicaraan terpaksa ditangguh bagi membolehkan Najib menghadiri mesyuarat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Ia selepas Muhammad Shafee memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya perlu menghadiri mesyuarat yang bermula pada jam 11 pagi dan memohon supaya kes dihentikan pada jam 10.45 pagi.

Muhammad Shafee, berkata mesyuarat itu berhubung perlantikan Perdana Menteri baharu dan Najib selaku penasihat Barisan Nasional (BN) perlu menghadirinya.

“Terdapat mesyuarat penting antara semua parti komponen BN, Bersatu dan beberapa parti lain yang tidak boleh disebut berhubung siapa yang akan mengetuai kerajaan.

“Kehadiran anak guam saya, bersama Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Ahmad Maslan adalah wajib bagi membuat keputusan mengenai nama yang akan diserahkan untuk tujuan pemilihan,” katanya.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah kemudian membenarkan permohonan penangguhan itu.

Bagaimanapun, Sequerah berkata penangguhan itu hanya dibenarkan kerana ia membabitkan isu semasa negara.

Katanya, kepentingan mesyuarat itu adalah bagi mencapai resolusi dan kebenaran hanya diberikan atas alasan itu.

“Saya tidak mahu memberi tanggapan bahawa permohonan penangguhan bagi menghadiri mesyuarat atau sebarang acara dibenarkan.

“Ia hanya untuk permohonan ini,” katanya.

Sequerah berkata perbicaraan itu perlu disambung pada sebelah petang.

Najib, 68, berhadapan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan kes bersambung esok. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights