Muhyiddin ada ‘berita gembira’ ?

Muhyiddin ada ‘berita gembira’ ?

TAN Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan Perdana Menteri bersama seluruh Kabinet dijangka membawa ‘berita gembira’, pagi ini.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan bagaimanapun enggan menjelaskan lebih lanjut tentang ‘berita gembira’ yang disebutkan dan menyerahkan kepada Muhyiddin untuk berbuat demikian, lapor Utusan Malaysia.

Pun begitu, perkhabaran itu dikaitkan dengan perkembangan terkini politik negara dan sokongan ahli Parlimen untuk melantik seorang Perdana Menteri baharu.

“Ya, ada berita gembira. Tetapi tidak sesuai untuk saya sebut. Biarlah Tan Sri akan mengumumkannya. Jadi, mungkin pada esok pagi (hari ini).

“Tidak pasti sama ada perkara ini akan diumumkan menerusi siaran televisyen atau kenyataan bertulis. Elok kita tunggu Tan Sri umum secara rasmi.

“Perikatan Nasional (PN) belum selesai lagi (berkenaan jumlah sokongan), Umno sahaja baru selesai tadi,” katanya

Wan Saiful juga tidak menafikan berita tersebut berkait dengan pembentukan semula Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Apa yang pasti, kita semua sedang usahakan untuk kekalkan kerajaan PN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat berita gembira untuk gabungan berkenaan ketika seluruh negara masih ternanti-nanti Perdana Menteri dan kerajaan baharu selepas peletakan jawatan Muhyiddin.

Sementara itu, Hizman Ahmad, Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Zuraida Kamaruddin mengucapkan kesyukuran tanpa penjelasan lebih lanjut.

“Alhamdulillah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya sejam lalu. – Malaysiapost

Komen