Muhyiddin arah 35 Ahli Parlimen Bersatu sokong Ismail Sabri

Muhyiddin arah 35 Ahli Parlimen Bersatu sokong Ismail Sabri

SEMUA Ahli Parlimen Bersatu diarahkan oleh Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyokong Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Malaysiakini melaporkan, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Eddin Syazlee Shith berkata, bahawa kepimpinan parti sebelum ini memutuskan bahawa Presiden akan memutuskan pilihan Perdana Menteri bagi pihak 35 Ahli Parlimen Bersatu.

“Kami semua setuju bahawa kita akan menyokong Ismail Sabri. Itulah arahan yang diberikan oleh Presiden kepada kami,” katanya.

Malam semalam, Ahli Parlimen Umno sebulat suara memutuskan bahawa mereka akan menyokong Ismail Sabri untuk menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu, semua Ahli Parlimen diberi tempoh sehingga jam 4 petang hari ini untuk menyatakan secara bertulis, kepada Istana Negara mengenai siapa yang disokong mereka sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Bagaimanapun, Eddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata, selain pemilihan Perdana Menteri, dia tidak tahu tentang tajuk perbincangan lain seperti pembentukan kabinet baru.

Mengenai siapa yang akan menjadi timbalan perdana menteri, Eddin berkata beliau difahamkan bahawa Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin kemungkinan calon berkenaan.

“Ini berdasarkan hierarki. Hamzah adalah Setiausaha Agung kami,” katanya. – Malaysiapost

Komen