Pejuang pilih Anwar, Shafie

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) memilih Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, sebagai calon Perdana Menteri kesembilan.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata, pihaknya juga sedia bekerjasama dengan Ahli Parlimen Bersatu, PAS dan Umno-Barisan Nasional (BN) yang memiliki calon yang majoriti mencukupi, namun bukan daripada kalangan Kluster Mahkamah.

Katanya, Pejuang terbuka menerima Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri sekiranya tiada pilihan lain, tetapi pilihan utama Anwar, Mohd Shafie .

“Sejak awal prinsip kami ialah menolak rasuah. Justeru kita akan ada masalah kalau majoriti yang kita sokong termasuk apa yang kita kenali sebagai kluster mahkamah.

“Tetapi keutamaan kami ialah rakan-rakan dalam PH. Justeru tumpuan kami adalah dua nama yang terawal,” katanya.

Sehubungan itu, Mukhriz berkata, semua pihak perlu menghormati hasrat Yang di-Pertuan Agong serta mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Jelasnya, oleh itu, mereka akan berkrompomi dan berkorban demi kesejahteraan rakyat dan negara untuk menerima individu dari mana-mana pihak sebagai Perdana Menteri.

“Ini akan membawa kepada satu lagi suasana politik yang tidak stabil serta mengganggu tumpuan kerajaan daripada tugas yang jauh lebih penting iaitu menguruskan krisis kesihatan.

“Kita tidak boleh memberikan jaminan mengenai hal ini, tapi jika kita menghormati pandangan Agong, kita mesti berkompromi, berkorban dan tidak terlalu keras dalam pendirian kita,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights