PENGUSAHA spa dan pusat urutan kaki (PUK) akan menerima geran bantuan khas secara sekali beri (one-off) sebanyak RM1,000 melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dibawah inisiatif Pakej Pelindungan Rakyat dan Pemulihan (PEMULIH).
Bantuan kewangan itu adalah bagi meringankan beban golongan terbabit yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
MOTAC dalam satu kenyataan memaklumkan, bantuan itu akan disalurkan dalam masa terdekat dan semua pengusaha spa dan PUK yang layak diminta segera mengemukakan permohonan bantuan terbabit.
“MOTAC menerusi PEMULIH akan menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM1,000 secara one-off kepada mereka yang terjejas dalam masa yang terdekat.
“Pengusaha spa dan PUK ini hendaklah bernaujg dibawah persatuan yang diiktiraf oleh MOTAC iaitu Association of Malaysian Spas (AMSPA) dan Malaysian Association of Wellness & Spa (MAWSPA),” menurut kenyataan itu, hari ini.
Bantuan itu dijangka akan dapat memanfaatkan sebanyak 433 pengusaha spa dan PUK.
Borang permohonan secara atas talian boleh didapati di pautan http://www.motac.gov.my/PrihatinMOTAC21_Spa mulai esok (19 Ogos) dan permohonan akan ditutup pada 6 September ini. – Malaysiapost