PM baharu tidak boleh terikat perjanjian kekal Kabinet PN – Pemuda Umno

SESIAPAPUN yang dinamakan sebagai calon Perdana Menteri daripada Barisan Nasional/Umno, tidak boleh mengikat dirinya dengan apa jua bentuk perjanjian untuk mengekalkan struktur Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang lalu.

Demikian kata Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang diadakan malam tadi bagi menentukan calon Perdana Menteri.

Beliau berkata, calon tersebut juga harus taat kepada Titah Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk mewujudkan sebuah Kabinet yang mampu menterjemahkan permuafakatan dan perpaduan semua parti politik dalam tempoh untuk menangani pandemik Covid-19.

“Serta, menguruskan kesejahteraan rakyat dan agenda pemulihan negara, sebelum masa sesuai untuk diadakan PRU-15 akan datang.

“Ia sebagaimana yang dimaklumkan oleh Presiden Umno yang berkongsi intipati Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong berkali-kali menegaskan dalam sesi mengadap Ketua-ketua Parti semalam, “Yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua”,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Justeru, tambah Asyraf, tentunya ada sebab dengan penuh hikmah kenapa Tuanku Yang di-Pertuan Agong menitahkan ‘Undi Percaya’ atau ‘Vote of Confidence’ dilakukan di Parlimen.

“Ia bertujuan mengabsahkan kedudukan Perdana Menteri, setelah dinamakan kelak oleh Baginda,” katanya.

Terdahulu, pertemuan MKT Umno dan Ahli Parlimen BN malam ini sebulat suara bersetuju untuk mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon tunggal Perdana Menteri daripada parti itu.

Perkara itu disahkan oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Seri Azalina Othman Said . – Malaysiapost.

Artikel berkaitan

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights