Presiden Umno berjiwa besar – Ahmad Said

PENGERUSI Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, menyifatkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai berjiwa besar apabila menolak pencalonan dirinya sebagai Perdana Menteri.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, bukan sahaja menolak pencalonan tetapi pemimpin itu turut mencadangkan nama lain sebagai calon Perdana Menteri yang mendapat sokongan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Menurutnya, namun masih ramai tidak berpuas hati dengan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berhubung kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Propaganda yang disebarkan oleh Jkom dan Cybertrooper upahan parti politik seolah-olah menjaja cerita fitnah kononnya Umno sebagai punca dan gila kuasa.

“Isu yang sepatutnya menjadi perhatian pada masa ini adalah kegagalan dan kelemahan kerajaan PN menguruskan pandemik Covid-19 sehingga mengorbankan lebih 13,000 rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, askar-askar siber sengaja memainkan sentimen emosi kononnya rakyat menjadi mangsa keadaaan akibat pertukaran kerajaan dengan menggambarkan Presiden Umno tamak kuasa.

“Seterusnya mengambarkan pemimpin PN semakin hampir berjaya menguruskan krisis pandemik negara tetapi usaha mereka terhenti kerana kehilangan kuasa walhal kes jangkitan 20,000 setiap hari dan kematian semakin meningkat,” katanya.

Menurutnya, tindakan Umno menarik sokongan adalah kerana negara kini berada dalam situasi bahaya dan dikhuatiri akan menjerumus negara ke zon kritikal jika dibiarkan berlanjutan.

“Hakikatnya pemimpin kerajaan PN gagal membendung penularan Covid-19 walaupun enam bulan melaksanakan Proklamasi Darurat yang hanya untuk menyelamatkan hayat politik mereka.

“Kegagalan mereka merupakan faktor utama ahli parlimen hilang kepercayaan dan bukannya kes mahkamah atau sebab lain,” katanya.

Menurutnya, apa yang penting sekarang adalah semua pihak pandang ke hadapan dan menyokong ke arah pemulihan negara menguruskan pandemik. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights