KEPUTUSAN mengehadkan jumlah jemaah masjid dan surau, serta menetapkan syarat vaksinasi bagi memasuki rumah ibadat diputuskan mufti dan pihak berkuasa agama negeri dengan perkenan Sultan.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan pada masa sama tidak semua negeri menetapkan syarat vaksinasi sebagai kebenaran memasuki masjid.
“Tidak timbul isu dosa dalam hal ini kerana itu ijtihad para mufti dan orang awam menurut ketetapan ulil amri dalam hal ini.
“Persoalan dosa atau tidak dalam hal ini, telah pun dibahaskan panjang lebar oleh para ulama usul fiqh,” katanya menerusi komen dalam satu hantaran di Facebooknya.
Zulkifli menjawab komen seorang pengikut Facebooknya yang mempersoalkan beliau sebagai bekas menteri agama kerana didakwa menghalang umat Islam solat berjemaah di masjid termasuk solat Jumaat.
Individu tersebut juga mempersoalkan keputusan untuk tidak membenarkan solat berjemaah di masjid bagi mereka yang tidak lengkap vaksinasi terutama warga tua. – Malaysiapost