YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan semua ketua dan wakil parti politik utama dapat mewujudkan suasana politik harmoni demi negara.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, Yang di-Pertuan Agong menitahkan Ahli Dewan Rakyat yang menang seharusnya menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan yang tidak berjaya.
Beliau berkata, baginda turut menitahkan meminta semua pihak sepatutnya bersedia untuk bekerja dalam satu pasukan.
“Dalam erti kata lain yang menang tidak menang semua manakala yang kalah tidak pula kalah semua,” titah baginda menurut kenyataan itu.
Beliau berkata, Seri Paduka Baginda dan Sultan Perak telah berkenan untuk menganjurkan sesi menghadap ketua-ketua parti politik semalam.
Katanya, sesi menghadap itu bagi menyatakan pendirian untuk pembentukan kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan perletakan jawatan Perdana Menteri dan seluruh jemaah menteri berkuatkuasa 16 Ogos lalu.
“Seri Paduka Baginda juga bertitah, semua 220 Ahli Dewan Rakyat untuk mempersembahkan kepada Baginda surat akuan sumpah (SD) untuk menyatakan seorang Ahli Dewan Rakyat untuk dipilih menjadi Perdana Menteri baharu.
“Kesemua Ahli Dewan Rakyat hendaklah mengemukakan surat akuan masing-masing kepada pihak Istana Negara pada hari ini 18 Ogos 2021 sebelum jam 4 petang,” katanya.
Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa surat akuan tersebut akan membantu Baginda untuk membuat keputusan bagi melantik seorang Perdana Menteri yang baharu yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. – Malaysiapost