255,534 kes Covid-19 masih aktif seluruh Malaysia

SEBANYAK 255,534 kes Covid-19 dilaporkan masih aktif daripada jumlah keseluruhan 1,489,460 kes yang direkodkan sejak wabak berkenaan melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes sembuh yang dicatatkan hari ini pula adalah sebanyak 21,720 menjadikan keseluruhan kes sembuh adalah 1,220,446 kes.

Menurutnya, daripada 22,948 kes baharu dilaporkan hari ini, sembilan daripadanya adalah kes import membabitkan empat warganegara dan lima bukan warganegara.

“Daripada jumlah kes baharu hari ini, kes tempatan adalah 22,939 (19,145 warganegara, 3,794 bukan warganegara).

“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 1,060 kes dengan 528 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 178 kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan keseluruhan 13,480 kes kematian setakat ini.

Menurutnya, daripada jumlah kematian baharu itu 155 daripadanya adalah warganegara, 23 bukan warganegara dan 35 adalah kematian luar hospital (BID) membabitkan 26 warganegara dan sembilan bukan warganegara.

“Kes kematian hari ini melibatkan 65 kes di Selangor, 36 di Johor, 23 di Kuala Lumpur, 11 di Sabah, masing-masing lapan di Pulau Pinang, Pahang, dan Melaka, lima kes di Kelantan, masing-masing empat di Negeri Sembilan, Sarawak dan Terengganu serta masing-masing satu di Kedah dan Perak,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 42 kluster baharu dilaporkan hari ini menjadikan keseluruhan 4,348 kluster dengan 2,945 kluster telah tamat dan 1,403 kluster masih aktif. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights