AHLI Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebentar tadi menceritakan sedikit sebanyak proses temuduga oleh Yang di-Pertuan Agong terhadap Ahli Parlimen yang menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
Bercakap kepada media selepas selesai mengadap yang di-Pertuan Agong, Ahmad yang juga Setiausaha Agung Umno berkata proses temuduga itu berlangsung secara ringkas.
“Hari ini 114 Ahli Parlimen yang memberi sokongan melalui Akuan Bersumpah (SD) kepada Datuk Seri ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri telah ditemuduga secara ringkas seorang demi seorang oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Di dalam pertemuan ringkas itu, setiap Ahli Parlimen menyatakan nama dan dari kawasan mana, kemudian tentunya menyatakan beri sokongan kepada Ismail Sabri tanpa paksaan dan secara sukarela.
“Itulah antara dialog Ahli Parlimen terutama diri saya dengan Yang di-Pertuan Agong. Saya kira ini satu pengalaman yang penting untuk diri saya dan 114 Ahli Parlimen yang sokong Datuk Seri Ismail Sabri,” katanya.
Beliau ditemui media di pintu dua Istana Negara.
Ahmad adalah antara kumpulan ketiga Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) hadir ke Istana Negara petang ini.
Ia bagi mengesahkan sokongan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan. – Malaysiapost