Ahli Parlimen sokong Ismail Sabri mula tinggalkan Istana Negara

SEBAHAGIAN Ahli Parlimen telah mula meninggalkan Istana Negara selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi ini.

Ia didahului Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak yang kelihatan melalui pintu dua Istana Negara jam 11.28 pagi menaiki kenderaan peribadi.

Terdahulu Najib bersama kumpulan Ahli Parlimen daripada Umno tiba di Istana Negara menaiki sebuah bas persiaran dan beberapa kenderaan lain pada jam 10.35 pagi.

Ia kemudian disusuli beberapa kenderaan dinaiki Ahli Parlimen daripada Umno.

Pada jam 11.53 pagi, bas persiaran dipercayai membawa Ahli-Ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilihat meninggalkan Istana Negara.

Terdahulu hari ini, sebahagian Ahli Parlimen tiba di Istana Negara dipercayai berhubung pelantikan Perdana Menteri kesembilan.

Kesemua Ahli Parlimen itu dipercayai menyokong Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri baharu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights