AHLI Parlimen Pontian mengesahkan beliau secara sukarela mencadangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri kerana yakin dengan keupayaan Naib Presiden Umno itu.
“Untuk diri saya sendiri, saya sukarela mencadangkan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri.
“Saya yakin dengan keupayaan beliau dan saya dah kenal beliau lama ketika sama-sama berkhidmat sebagai setiausaha politik suatu ketika dahulu,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Gazette.
Ketika ditemui media di Menara Dato Onn di ibu negara hari ini, Ahmad yang juga Setiausaha Agung Umno berkata Ismail Sabri mempunyai pakej lengkap untuk menyandang jawatan sebagai pemimpin nombor satu negara.
“Walaupun beliau nombor tiga dalam Umno iaitu naib presiden, tetapi pengalaman beliau saya kira sudah mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri yang baik.
“Beliau pernah menyandang jawatan ketua pembangkang selama 22 bulan dan selepas itu dilantik menteri kanan dan seterusnya Timbalan Perdana Penteri,” katanya.
Mengenai jemputan Ahli-Ahli Parlimen ke Istana Negara hari ini, Ahmad menjelaskan hanya kumpulan yang melebihi paras kemenangan sahaja dijemput mengadap Yang di-Pertuan Agong.
“Dalam kata lain, mereka yang menyokong calon kedua itu (Datuk Seri Anwar Ibrahim) daripada maklumat yang saya terima, mereka tidak dijemput untuk sesi mengadap Yang di-Pertuan Agong.
“Tujuan mengadap ini saya difahamkan untuk mengesahkan Akuan Bersumpah (SD) yang telah dihantar, adakah kita sukarela membuat akuan itu atau berada di bawah tekanan dan lain-lain,” katanya.
Ahmad memaklumkan sesi mengadap beliau dijadualkan pada jam 3 petang ini bersama ahli-ahli Parlimen BN yang lain. – Malaysiapost