Asyraf Wajdi nafi kemaruk jawatan

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menafikan tindakannya lantang bersuara berkenaan isu-isu rakyat kerana kemaruk jawatan.

Sebaliknya beliau berkata, jika benar kemaruk jawatan sudah tentu beliau tidak menolak tawaran mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pada zaman kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Ada yang komen seolah-olah saya lantang bersuara kerana kemaruk jawatan!

“Jika benar saya kemaruk jawatan sudah tentu sejak awal lagi saya tidak menolak tawaran mengepalai GLC waktu zaman kerajaan PN sebelum ini,” katanya dalam komen pada satu hantaran di Facebooknya.

Asyraf Wajdi turut menegaskan beliau tidak akan menerima apa-apa jawatan jika ditawarkan oleh kerajaan baharu.

“Apakah saya akan menerima jika ditawarkan apa-apa jawatan dalam kerajaan yang baharu nanti?

“Jawapan saya tidak. Biarlah saya terus mengepalai Pergerakan Pemuda Umno untuk menjadi suara semak dan imbang, juga jurubicara rakyat tanpa terikat dengan apa-apa yang boleh membataskan suara kami Pemuda.

“Lagipun kerajaan baharu kelak hanya untuk beberapa bulan yang berbaki sebelum tamat tempohnya bagi diserahkan kembali mandat mutlak kepada rakyat dalam PRU15,” katanya.

Terdahulu dalam hantaran itu, beliau menyatakan Pemuda Umno akan terus bersuara dan memperjuangkan 10 Tuntutan Rakyat tidak kira siapa dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Antaranya, segerakan bantuan khas Covid-19, tambah baik i-Citra dan bantuan khas kecemasan untuk peniaga kecil. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights