UMNO tidak pernah mengecewakan pemimpinnya walau apa pun sikap mereka terhadap parti, kata veteran Umno, Tan Sri Shahrir Samad.
Katanya, ia terbukti menerusi proses menamakan seorang sahaja calon Perdana Menteri apabila Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno membuat keputusan untuk menyerahkan kepada Ahli-Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) menentukannya.
Beliau berkata, umum mengetahui Ahli-Ahli Parlimen Umno sudah berpecah dalam soal sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Beliau menjelaskan, terdapat 15 yang bersama MKT Umno menarik balik kepercayaan kepada kerajaan PN, manakala 23 lagi, sama ada mahu menunggu sidang Parlimen bulan depan atau tetap menerima kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.
“Namun, apabila soalnya ialah pengisian jawatan Perdana Menteri (PM), parti tidak pernah mengecewakan pemimpin mereka walau apa pun sikap pemimpin itu terhadap parti,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Shahrir berkata sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Umno berada dalam situasi luar biasa apabila terdapat Ahli-Ahli Parlimen yang sanggup mengkhianati kepercayaan parti dan mandat rakyat untuk melompat keluar dari Umno.
Sejak PRU14 katanya, seramai 15 Ahli Parlimen Umno melompat ke Bersatu, seorang ke Warisan selain ramai lagi di Sabah sehingga bertukar kepimpinan di peringkat bahagian.
“Setelah Langkah Sheraton, Ahli-Ahli Parlimen Umno ada yang merasa balik jawatan dalam kerajaan atau badan-badan berkaitan kerajaan.
“Kedudukan Umno dan BN bersama kerajaan baru tidak pula berasaskan apa-apa perjanjian gabungan. Ia semata-mata persetujuan parti untuk bersama PPBM (Bersatu), PAS dan GPS membentuk sebuah kerajaan.
“Perbezaan pendirian antara Ahli-Ahli Parlimen Umno dengan parti mula ketara setelah Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 apabila ada juga pendapat bertentangan dari segi yang pokok dan soal masa atau ‘timing’ pelaksanaan usul,” katanya.
Beliau berkata, perbezaan pendirian antara Ahli-Ahli Parlimen dengan parti adalah suatu yang baru bagi Umno.
Buat masa ini, katanya, parti memberi Ahli-Ahli Parlimennya kuasa untuk terus bersama dengan Bersatu dalam sebuah kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Terserahlah kepada Ahli-Ahli Parlimen Umno di bawah kepimpinan Ismail Sabri membuktikan kerajaan barunya lebih berkesan dari kedua-dua kerajaan sebelum ini.
“Apapun, tahniah kepada kepimpinan parti yang sentiasa menekankan kepada sikap dan pendirian cara bersama atau enbloc,” katanya lagi.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri kerana dipilih untuk memimpin gabungan BN-PN-GPS dan mereka yang akan diamanahkan tanggungjawab dan tugas.
Pada masa sama, beliau melahirkan rasa kagum kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Walaupun berkali sindiran ‘kleptokrat’ terhadapnya dijadikan sebab perletakan jawatan oleh dua PM, ditambah dengan makian oleh seorang sahabat lama, beliau tetap meletakkan kepentingan kumpulan yang ramai di atas soal dirinya,” katanya. – Malaysiapost