PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan sokongan yang diberikan kepada Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri adalah bersyarat.
Ahli Parlimen Pagoh itu yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Isnin lalu, berkata jika Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu, beliau hendaklah memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik terdiri mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.
Menurutnya, kerajaan PN di bawah pimpinan Ahli Parlimen Bera itu juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berpelembagaan.
“Saya berharap proses pelantikan Perdana Menteri yang baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.
“Selaku Pengerusi PN, saya akan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila tiba masanya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Muhyiddin memaklumkan, PN telah sebulat suara bersetuju untuk mencalonkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagai calon Perdana Menteri kerajaan PN yang baharu.
Beliau berkata, semua 50 Ahli Dewan Rakyat dari parti gabungan PN iaitu 31 Ahli Parlimen Bersatu, 18 PAS dan satu STAR telah menyerahkan Akuan Bersumpah (SD) ke Istana Negara semalam bagi menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri.
“Empat Ahli Dewan Rakyat bebas Pro-PN juga telah berbuat perkara yang sama. Saya juga telah berunding dengan pimpinan parti GPS dan PBS yang membentuk kerajaan PN sebelum ini untuk mengambil ketetapan sama.
“Keputusan ini dibuat demi menjamin kesinabungan dasar-dasar PN yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi Covid-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa sesuai untuk PRU15 bagi mengembalikan mandat kepada rakyat,” katanya.
Muhyiddin berkata, keputusan itu juga bermakna PN lebih mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat berbanding politik dendam dalam persaingan merebut kuasa.
“Apabila berhadapan situasi krisis, ahli politik mesti berjiwa besar (magnanimous) demi kepentingan rakyat dan negara.
“Selaras prinsip PN untuk mempertahankan kerajaan berintegriti, suka saya menegaskan bahawa sokongan PN kepada Ismail Sabri adalah bersyarat,” katanya. – Malaysiapost