Hujan 8 jam punca fenomena kepala air Gunung Jerai

TABURAN hujan lebat luar biasa dalam tempoh yang singkat di sekitar kawasan puncak Gunung Jerai, Yan di Kedah bermula sekitar jam 2.30 petang semalam, punca menyebabkan berlaku banjir kilat di Kuala Muda dan Yan.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, berkata keadaan itu adalah berdasarkan laporan tinjauan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

Menurutnya, maklumat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia, Stesen Hujan Gunung Jerai pula merekodkan bacaan kumulatif 281 milimeter (mm) dan Stesen Hujan Kampung Singkir Genting merekodkan bacaan kumulatif 172 mm.

“Dalam tempoh sejam, jumlah kumulatif tertinggi hujan direkodkan adalah 91 mm. Berdasarkan rekod, pada jam 6 petang, hujan telah melebihi 50 tahun ‘Average Recurrence Interval’ (ARI).

“Kemuncaknya ialah pada jam 8 malam iaitu melebihi 70 tahun ARI bagi jumlah hujan 278 mm,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Zaini berkata, kejadian hujan yang ekstrem itu telah menyebabkan fenomena kepala air di kawasan Gunung Jerai dan banjir lumpur sehingga kedalaman 0.1 meter (m) hingga 0.3 m di Kuala Muda dan 0.2 hingga 1.5 meter di Yan.

“Hujan lebat di hulu iaitu kawasan bukit menyebabkan berlaku limpahan air sungai serta terdapat halangan sampah sarap, kayu dan reba pokok yang tersangkut pada lintasan.

“Pihak KASA bersama agensi-agensi di bawahnya termasuk kerajaan negeri telah mengambil tindakan termasuk kerja pembersihan dan mengadakan perbincangan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan yang perlu dijalankan segera,” katanya.

Terdahulu, dilaporkan tiga mangsa ditemukan maut di beberapa lokasi di sekitar kawasan Gunung Jerai, Yan yang dilanda banjir susulan fenomena kepala air pada petang, semalam.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, berkata setakat operasi pada jam 1 pagi hari ini, tiga lagi mangsa dipercayai masih hilang di satu kawasan di Titi Hayun. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights