Infografik 114 sokongan terhadap Ismail Sabri, palsu
PEJABAT Yang di-Pertua Dewan Rakyat memaklumkan, Infografik yang tular di media sosial berkaitan jumlah sokongan Ahli Parlimen Dewan Rakyat adalah palsu.
Menerusi hantaran di Facebook Parlimen Malaysia semalam, pejabat tersebut memaklumkan perkara itu.
Infografik itu menunjukkan 114 sokongan Ahli Parlimen yang menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Kesembilan.
Daripada jumlah berkenaan, 50 undian daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) (41), Gabungan Parti Sarawak (18), Parti Bersatu Sabah (1) dan Bebas (4).
Manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim memperolehi 92 undian iaitu DAP (42), PKR (35), Amanah (11), serta masing-masing dua dari Parti Sarawak Bersatu dan Bebas.
Kira-kira jam 10 malam tadi, tular satu edaran senarai 114 nama kehadiran Ahli Dewan Rakyat ke Istana Negara pada hari ini, Khamis.
Edaran itu menyatakan Ahli Parlimen Bera yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dikatakan mendapat sokongan majoriti 114 Ahli Parlimen untuk dinobatkan sebagai Perdana Menteri Kesembilan. – Malaysiapost