Kit Siang cadang 2 calon PM bentuk Kabinet perang

SEKIRANYA hanya ada dua nama untuk jawatan Perdana Menteri, seorang boleh dilantik sebagai Perdana Menteri dan seorang lagi Timbalan Perdana Menteri untuk membentuk kabinet perang, kata veteran DAP, Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Kabinet itu melibatkan semua kuasa politik di Parlimen untuk memenangi perang melawan penularan wabak Covid-19 sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam masa 18 bulan.

“Kabinet Perang tersebut perlulah mencerminkan perpaduan Parlimen untuk mengubah nasib negara kita yang sedang kalah selama 20 bulan dengan wabak Covid-19 dengan membawa dasar-dasar dan strategi baharu untuk mengawal wabak ini.

“Selain mengembalikan harapan, keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada satu pendekatan yang melibatkan keseluruhan masyarakat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Setakat ini hanya dua nama disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri kesembilan iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun Ismail Sabri dilaporkan telah mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri baharu.

Sementara itu Kit Siang berkata, sekarang adalah antara masa paling kelam dalam sejarah negara dan semua perlu menghentikan pendarahan negara ini dan mencari penyelesaiannya.

Sehubungan itu katanya, sebuah Kabinet Perang dan Parlimen Perang adalah salah satu penyelesaian kepada masalah itu.

“Parlimen perang ini perlulah membentuk perpaduan negara untuk memerangi wabak Covid-19 dengan Ahli-ahli Parlimen memainkan peranan dalam pelbagai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, bukan sahaja untuk memerangi Covid-19.

“Tetapi juga menyediakan negara kita untuk pemulihan ekonomi dan kehidupan bagi memenuhi aspirasi Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, di mana Malaysia menjadi satu “sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu”.

“Kabinet Perang dan Parlimen Perang ini perlulah dibentuk di atas batu asas Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara dan sistem monarki berperlembagaan yang berteraskan demokrasi berparlimen, doktrin pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, dan penghormatan kepada hak asasi manusia,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights