Korban keempat fenomena kepala air Gunung Jerai ditemui

MANGSA keempat fenomena kepala air Gunung Jerai, Yan di Kedah ditemui di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Sungai Udang, petang tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Abdul Wahab Mat Yasin, berkata, mayat Mohd Faizal Mohd Zohir, 28, ditemui oleh Unit Anjing Pengesan (K9) jam 3.10 petang.

Menurutnya, mangsa yang dilaporkan hilang di Titi Hayun itu ditemukan setelah pihaknya meluaskan kawasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini.

Katanya, mayat pertama dikenali sebagai Ahmad Din, 64, ditemui kira-kira jam 6.30 petang, semalam di Kampung Setol, manakala mangsa kedua, Shahruzi Mohamad, 53, pula ditemui di Kilometer 8, Gunung Jerai kira-kira jam 11 malam semalam dan mangsa ketiga, Zainol Morad, 66, ditemui di Kampung Titi Hayun kira-kira sejam setengah kemudian.

“Bomba berjaya menyelamatkan seorang mangsa yang cedera dikenali sebagai Abdullah Morad berusia 64 tahun pada jam 11.45 malam semalam.

“Kini, operasi SAR menumpukan pencarian dua lagi mangsa yang dilaporkan hilang susulan fenomena kepala air melibatkan dua sektor di Titi Hayun dan Salak Denai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika membuat tinjauan operasi SAR mangsa hilang di Titi Hayun hari ini.

Menurutnya, memang sesuatu yang sukar sebab kepala air membawa sisa-sisa hutan tunggul dan kayu batu, jadi ada kemungkinan menyebabkan mangsa tertindih atau tertimbus yang memerlukan pencarian begitu teliti.

Katanya, Unit K9 menemui petanda, namun ia perlu disahkan semula dengan anggota pasukan penyelamat.

Abdul Wahab berkata, seramai 71 anggota dan pegawai termasuk Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Pasukan Kemahiran Pelbagai (MUST) terlibat dalam operasi itu.

Katanya, operasi berkenaan turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Majlis Daerah Yan.

“Kita turut menggerakkan Unit K9 dan dron di lokasi berkenaan, selain dibantu anggota bomba dari JBPM Perak, Pulau Pinang dan Perlis,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights