PENDAKWAH terkenal hadir di Bukit Aman hari ini untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan polis dalam kes gangguan seksual.
Individu itu hadir dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda Hilux sekitar jam 8.59 pagi tadi, lapor MalaysiaGazette.
Pendakwah yang mengenakan jubah biru itu kemudian dibawa masuk ke dalam pondok keselamatan untuk proses pengambilan pas pelawat dan seterusnya merakam keterangan oleh Bahagian D11 Bukit Aman pagi ini.
Para pengamal media dan jurukamera yang tiba berkumpul di bawah pokok di hadapan Bukit Aman juga tidak dapat merakam kemunculan individu itu dengan jelas disebabkan dihalang kenderaan yang melintas di hadapan, selain anggota polis yang menutup peluang dan ruang lensa kamera.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi untuk meminta pengesahan kehadiran pendakwah itu ke Bukit Aman tidak mahu mengulas lanjut.
“Sekejap lagi satu kenyataan akhbar akan dikeluarkan, yang boleh sahkan kehadiran (pendakwah terkenal),” katanya.
Semalam, media melaporkan seorang pendakwah terkenal dipanggil untuk diambil keterangan hari ini.
Siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.- Malaysiapost