KERAJAAN Kedah mengisytiharkan daerah Yan dan Kuala Muda sebagai Kawasan Bencana Tahap Satu berikutan banjir buruk akibat fenomena kepala air bermula di Gunung Jerai, petang semalam.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pengisytiharan itu dibuat berdasarkan Arahan Tetap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Nombor 20.
Sehubungan itu, katanya, pengurusan dan pengendalian kejadian bencana di kawasan dikategorikan Tahap 1 ditangani oleh agensi-agensi terlibat dalam pengurusan bencana di peringkat daerah, sama ada tanpa bantuan luar atau dengan bantuan luar yang terhad.
“Semua agensi kerajaan dan badan berkanun yang berkaitan dengan pengurusan operasi bencana kini sedang mengambil pelbagai langkah perlu, bagi memastikan musibah yang melanda dapat ditangani dengan berkesan.
“Pihak swasta dan juga badan-badan sukarela yang mahu membantu akan diberi latihan mencukupi di bawah penyelarasan MKN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi, berkata pihaknya turut merakamkan rasa dukacita amat mendalam berikutan banjir kilat dan kepala air di kedua-dua daerah, khususnya sekitar kaki Gunung Jerai, semalam.
Katanya, kejadian itu meragut beberapa nyawa dan menjejaskan kehidupan penduduk kawasan itu.
“Saya bagi pihak pimpinan kerajaan negeri dan pegawai-pegawai tadbir mengucapkan takziah dan berkongsi rasa sedih amat mendalam dengan setiap keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam kejadian itu.
“Kerajaan negeri akan berusaha sebaik mungkin dan melakukan apa sahaja yang perlu untuk memulihkan keadaan dan kehidupan penduduk yang terjejas.
“Meskipun kita sedang bergelut dengan musibah, saya ingin mengingatkan orang ramai terutama mereka yang terbabit, petugas kerajaan dan sukarelawan yang membantu di lapangan, agar sentiasa menjaga diri kerana ancaman Covid-19,” katanya. – Malaysiapost