Zahid selesai mengadap Agong, syukur telah tunaikan tanggungjawab
DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi yang selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong petang ini, melahirkan rasa syukur kerana telah menunaikan tanggungjawab sebagai Presiden Umno dan Ahli Parlimen.
Beliau antara 114 Ahli Parlimen yang dipanggil ke Istana Negara bagi mengesahkan Akuan Bersumpah (SD) menyokong Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.
“Setinggi syukur Alhamdulillah selesai menjalankan tanggungjawab sebagai Presiden Umno dan Ahli Parlimen.
“Mengadap Kebawah Duli Tuanku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. Kesetiaan kepada Raja dan Negara mengiringi langkah ini. Ya Tuhan permudahkanlah segala urusan.
“Semoga Allah SWT merahmati Ketua Negara Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” tulisnya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Terdahulu kesemua Ahli Parlimen yang menyokong Ismail Sabri dipanggil ke Istana Negara hari ini. – Malaysiapost