2 pengganas Abu Sayyaf ditembak mati

2 pengganas Abu Sayyaf ditembak mati

PASUKAN Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dengan kerjasama Polis Sabah menembak mati dua pengganas Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) awal pagi tadi.

Kedua-duanya mati dalam kejadian berbalas tembakan di sebuah ladang kelapa sawit di Pulau Timbang, Sandakan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, kedua-dua lelaki terbabit dipercayai merancang untuk menculik pemilik ladang berkenaan untuk mendapatkan wang tebusan (KFR).

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata rancangan mereka digagalkan apabila ia didedahkan seorang ketua kumpulan kecil ASG Sansibar Bencio yang ditahan di Taman Sri Arjuna, Beaufort pada Mei lalu.

Menurutnya, ketika siasatan Bencio mendedahkan mengenai rancangan penculikan pemilik ladang kelapa sawit di dua lokasi.

“Operasi ini dilancarkan selepas Bencio mendedahkan dia telah mengarahkan dua anggota kumpulannya untuk menculik dua pemilik ladang kelapa sawit berketurunan Cina yang tinggal di Sandakan dan Sukau (Kinabatangan).

“Tindakan itu bagi memberi dana kepada kumpulan di markas timur Sulu di Kompleks Bud Bawis, Panamao, Sulu, Selatan Filipina,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, hari ini.

Menurutnya, dua pengganas berkenaan dikenali sebagai Rakim Landasan dan Alnasir Landasan berusia antara 30 dan 40 tahun.

“Sepucuk pistol jenis A Colt.45, yang biasa digunakan di Filipina dan sebilah parang ditemui di lokasi kejadian,” katanya.

Hazani berkata, operasi itu susulan serbuan di ladang terbabit pada Rabu lalu yang menahan 11 lelaki dan tujuh daripadanya disahkan oleh pihak berkuasa Filipina sebagai anggota ASG.

“Dalam serbuan itu, dipercayai beberapa lelaki telah melarikan diri dan usaha mengesan mereka disambung semula keesokannya (semalam),” katanya.

Hazani berkata, selain ESSCOM operasi turut dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pihaknya kini giat memburu saki-baki kumpulan pengganas terbabit. – Malaysiapost

Komen