SEBANYAK 233 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan keseluruhan 13,713 individu maut sejak wabak berkenaan melanda negara.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kematian baharu itu 199 adalah membabitkan warganegara dan 34 bukan warganegara.
Menurutnya, sebanyak 60 kes adalah kematian luar hospital (BID) membabitkan 44 warganegara dan 16 lagi bukan warganegara.
“Kes kematian pada hari ini melibatkan 101 kes di Selangor, 31 kes di Kuala Lumpur, 23 kes di Johor, 17 kes di Sabah, 16 kes di Perak, 15 kes di Pulau Pinang dan 11 kes di Negeri Sembilan.
“Sembilan kes di Kedah, empat kes di Terengganu serta masing-masing tiga kes di Kelantan dan Pahang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes sembuh dilaporkan hari pula adalah sebanyak 21,448 kes menjadikan keseluruhan 1,241,894 kes sembuh berbanding kes baharu 23,564 kes dengan 1,513,024 kes kumulatif.
“Kes import dilaporkan adalah 23 kes membabitkan 12 warganegara dan 11 bukan warganegara.
“Kes tempatan adalah 23,541 kes iaitu 19,714 warganegara dan 3,827 bukan warganegara,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, setakat ini sebanyak 257,417 kes yang dilaporkan masih aktif.
“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 1,062 kes dan 518 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
“Secara keseluruhan jumlah kluster adalah 4,386 kluster dengan kluster baharu dilaporkan hari ini sebanyak 38 kluster dan 2,964 kluster tamat, manakala 1,422 kluster masih aktif,” katanya.
Menurutnya daripada 23,564 kes hari ini, sebanyak 431 kes adalah daripada kategori 3, 4 dan 5, manakala sebanyak 23,133 kes lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.
“Secara keseluruhan, 19,362 kes (82.2 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi,” katanya. – Malaysiapost