Sultan Johor muat naik hantaran sifat orang munafik

Sultan Johor muat naik hantaran sifat orang munafik

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini mencetuskan tanda tanya banyak pihak selepas memuat naik hantaran berkaitan sifat-sifat orang munafik di laman sosial rasmi milik baginda.

Perkongsian hantaran tersebut adalah sebuah Hadis Riwayat Al-Bukhari yang menjelaskan tanda-tanda orang munafik.

“Daripada Abi Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tanda-tanda orang munafik ada tiga iaitu apabila dia bercakap dia berdusta dan apabila dia berjanji dia memungkiri dan apabila dia diberi amanah dia telah mengkhianati.”

Semakan di InstaStory milik Tunku Mahkota Johor pula menyaksikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim menulis: “A true leader cannot be bought” (Pemimpin sejati tidak boleh dibeli).

Dalam pada itu, menerusi hantaran di Facebook Tunku Ismail atau lebih dikenali sebagai TMJ berkata, kestabilan dan kehidupan rakyat adalah keutamaan dan bukan kepentingan peribadi.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim antara yang lantang menyuarakan amaran kepada mana-mana individu yang cuba membuat onar dalam kerajaan Johor sedia ada.

Baginda dalam ucapan sebelum ini bertitah tidak akan teragak-agak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor jika berlaku cubaan menjatuhkan kerajaan Negeri.

Malah, baginda bertitah tidak akan melayan permainan politik mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor yang terus bertelagah sampai mengganggu negeri dan kerajaan. – Malaysiapost

Komen