Armada akur calon PM pilihan Muhyiddin

Armada akur calon PM pilihan Muhyiddin

ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, menghormati pendirian Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu dalam penentuan calon Perdana Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang baharu.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata atas semangat penyatuan ummah dan demi memastikan kelangsungan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah dirangka, pihaknya menyokong apa jua ketetapan dibuat pucuk pimpinan parti.

“Armada Bersatu juga tegas dan konsisten dengan pendirian Tan Sri (Muhyiddin) selaku Pengerusi PN dalam menjunjung Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Bahawa Perdana Menteri ke-9 haruslah menepati lunas undang-undang negara serta memilih barisan Jemaah Menteri yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, fokus parti, kerajaan dan warga Malaysia hendaklah diberikan kepada usaha untuk menstabilkan negara, memelihara nyawa dan menjamin kemaslahatan rakyat yang masih bergelut melawan pandemik Covid-19. – Malaysiapost

Komen