Ismail Sabri berdepan cabaran besar sebagai PM

PELANTIKAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri mencipta sejarah negara apabila
menjadi orang pertama yang bukan presiden parti menjadi pemimpin negara dan membuka lembaran baharu kepada politik Malaysia.

Ketua Umno Bahagian Kluang Datuk Md Jais Sarday berkata walaupun Ahli Parlimen Bera itu telah lama menaiki tangga kepimpinan parti namun ramai masih melihatnya sebagai pemimpin muka baharu.

“Ini kerana namanya tidak pernah di ’highlight’ serta diperbualkan sejak kejatuhan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan sepanjang Umno meneroka jalan untuk kembali ke menerajui politik tanahair.

“Pelantikan ini juga menunjukkan kematangan dan titik penyatuan antara kepimpinan parti dan ahli-ahli Parlimen Umno yang sebelum ini dilihat tidak sehaluan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berpendapat cabaran pertama Perdana Menteri kini ialah untuk membawa keluar kerajaan gabungan BN, Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dari konotasi ‘kerajaan gagal’ yang diberikan oleh netizen.

Menurutnya, Ismail Sabri perlu mengelak dari menggunakan perkataan Kerajaan PN walaupun gabungan itu
adalah antara komponen membentuk kerajaan.

“Cabaran kedua pula, bagaimana kerajaan akan menangani masalah wabak Covid-19 yang sedang mengganas dalam negara.

“Masalah rakyat bukan merasa takut kerana jumlah jangkitan harian yang tinggi tetapi soal hilang pekerjaan serta pendapatan isi rumah untuk menyara keluarga.

“Membayar pelbagai hutang, di samping keciciran anak-anak dalam mengikuti pembelajaran dari rumah,” katanya.

Md Jais berkata, cabaran ketiga pula untuk mengekalkan kestabilan kerajaan dan tidak boleh mengulangi kesilapan pentadbiran terdahulu khususnya berkaitan perlantikan jawatan dan pembentukan dasar baharu.

“Perdana Menteri sebaiknya membentuk suatu jawatankuasa khas bersama yang dianggotai oleh wakil-wakil tiga parti gabungan (BN, PN dan GPS) untuk memandu perjalanan kerajaan sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Kaedah ini juga akan mengembalikan integriti ahli-ahli parlimen terhadap parti masing-masing bersesuaian dengan persetujuan parti bergabung untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, rakyat sangat mengharapkan kerajaan baharu benar-benar telus dalam menyelesaikan tiga kemelut utama iaitu politik, ekonomi dan kebajikan termasuk kesihatan rakyat.

“Pastinya jemaah menteri yang bakal dilantik bukan semata-mata untuk memenuhi kuota parti, namun mestilah mereka yang berintegriti dan mempunyai kredibiliti tersendiri,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights