TAN Sri Muhyiddin Yassin memohon rakyat berdoa agar semua sentiasa dilindungi Allah dari virus Covid-19 dan diberi kekuatan untuk menempuh ujian, cabaran dan rintangan daripada pandemik ini.
Perdana Menteri Caretaker itu turut berharap keadaan negara beransur pulih dan Malaysia akan sentiasa aman, makmur dan bangkit menjadi lebih kuat dari sebelumnya.
“Oleh itu, usah berhenti berdoa mengharapkan pertolongan daripada Allah SWT. Itulah sifat hamba-Nya yang tidak mempunyai sebarang kuasa melainkan atas kurniaan yang Maha Esa.
“Jika kita sentiasa berpandu kepada jalan Allah, Al-Quran dan Sunnah, saya yakin dan percaya hidup kita akan lebih tenang dan bermakna.
“Do not do what you feel is right. Do what Allah say is right. Do what is right. Kepada Allah SWT jualah kita berserah,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Muhyiddin juga memaklumkan hari ini beliau menunaikan solat jumaat di Masjid Umar Al-Khattab, Bukit Damansara bersama jemaah lain di bawah pengawasan prosedur operasi standard (SOP) teratur dan ketat.
Sebelum ini, beliau mengumumkan beberapa kelonggaran kepada mereka yang sudah melengkapkan kedua-dua dos vaksin Covid-19 seperti solat di masjid dan surau.
Kelonggaran itu terpakai ke atas semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara.
“Alhamdulillah, hari ini saya dapat menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara bersama jemaah yang lain di bawah pematuhan SOP yang teratur dan ketat.
“Kita perlu sentiasa mengambil langkah proaktif dan bertanggungjawab secara individu untuk memastikan keselamatan dan kesihatan semua terpelihara apabila berada di khalayak ramai termasuk di masjid dan kawasan awam lain,” katanya. – Malaysiapost