KEPUTUSAN siapa bakal dilantik sebagai Perdana Menteri dijangka diketahui hari ini selepas Yang di-Pertuan Agong mengadakan satu pertemuan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka dinamakan sebagai Perdana Menteri kesembilan, susulan 114 sokongan diterimanya sekatat ini berbanding 111 majoriti Ahli Parlimen yang diperlukan.
Semalam, Ahli-Ahli Parlimen yang menyokong Ismail Sabri telah dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mengesahkan sokongan terhadap Ahli Parlimen Bera itu.
Ismail Sabri, Timbalan Perdana Menteri di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tumbang pada 16 Ogos lalu, menerusi hantaran di Facebooknya hari ini berkata beliau menyerahkan segalanya kepada Allah SWT.
“Kepada Allah kita berserah,” katanya ringkas.
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) tumbang buat pertama kalinya, Ismail Sabri telah dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
Susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari tahun lalu, Ismail Sabri kemudian dilantik sebagai Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) serta mengetuai Kementerian Pertahanan di bawah kerajaan PN.
Pada 7 Julai lalu, beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Semalam, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN dilaporkan berkata sokongan yang diberikan kepada Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri adalah bersyarat.
Muhyiddin berkata jika Ismail Sabri dilantik Perdana Menteri yang baharu, beliau hendaklah memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik terdiri mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas pertuduhan jenayah di mahkamah.
Menurutnya, kerajaan PN di bawah pimpinan Ahli Parlimen Bera itu juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berpelembagaan. – Malaysiapost