Pelantikan Ismail Sabri diharap hentikan polemik politik – Bersatu

BERSATU berharap pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan akan menghentikan polemik politik dalam negara.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata kerajaan mesti segera mengembalikan tumpuan kerja menjaga kesihatan dan kebajikan rakyat, serta membina semula ekonomi negara.

Menurutnya, rakyat sudah penat dengan kemelut politik terutama pada waktu pandemik ini.

“Bersatu merafak sembah menjunjung kasih atas perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

“Bersatu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri atas pelantikan ini.

“Beliau merupakan calon yang disepakati Bersatu dan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN), atas keyakinan kami bahawa beliau akan membawa negara ke arah kestabilan demi meneruskan usaha-usaha dimulakan oleh PN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Bersatu mendoakan Ahli Parlimen Bera itu sentiasa berada dalam panduan Allah SWT sepanjang menjalankan tanggungjawab mengemudi negara.

“Sejak awal lagi Bersatu sentiasa konsisten bahawa tumpuan utama kita mestilah kepentingan rakyat. Dengan perlantikan Ismail Sabri, sekarang adalah masa untuk kembali kepada keutamaan itu,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights