Polis KL ingatkan orang ramai jangan sertai perhimpunan esok

POLIS Kuala Lumpur mengingatkan orang ramai agar tidak mengadakan atau menyertai perhimpunan atau perarakan sekitar ibu negara yang dijadulkan esok.

Ia susulan perintah Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang dikeluarkan hari ini berkenaan larangan sebarang perarakan dari Kompleks Sogo dan Masjid Jamek (termasuk kawasan sekitar dalam radius 1 kilometer) serta perhimpunan di Dataran Merdeka, esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata pihak yang merancang untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan juga dilarang dan diberikan amaran untuk tidak hadir, berada, atau mengambil apa-apa bahagian.

“Polis amat berharap masyarakat faham peri pentingnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan sentiasa memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan elakkan berada dalam kelompok yang ramai agar dapat mengurangkan kadar jangkitan Covid-19,” katanya menerusi kenyataan.

Mengulas lanjut, Azmi berkata pihaknya menerima maklumat berkenaan pihak-pihak tertentu yang sentiasa mengambil peluang untuk mengadakan perhimpunan dan perarakan yang jelas melanggar SOP PPN walaupun pihak berkenaan mendakwa permohonan mengadakan perhimpunan telah dibuat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Polis amat berharap masyarakat memahami bahawa faktor keselamatan kesihatan ketika ini tidak menentu dan memungkinkan jangkitan berganda pada tahap luar biasa sekiranya masyarakat tidak mematuhi SOP,” katanya.

Beliau berkata seluruh Kuala Lumpur masih berada dalam tempoh PPN Fasa 1 yang berkuatkuasa sejak 29 Jun 2021.

Hari ini saja katanya, jumlah kes baharu di Kuala Lumpur adalah 1,676 dengan nilai kebolehjangkitan (R-naught) pada kadar 0.95.

“Justeru, polis mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi SOP agar kita dapat mengelakkan diri dan keluarga daripada jangkitan Covid-19. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights