Positif Covid-19, tahap oksigen Fazli Zainal kembali normal
PENYANYI Fazli Zainal berkongsi perkembangan terkini tahap kesihatan beliau yang semakin pulih akibat jangkitan virus Covid-19 sebelum ini namun, masih dirawat di hospital.
Fazli menerusi hantaran di Instagram miliknya berkongsi tahap oksigennya terkini sambil merakamkan penghargaan buat semua pihak yang tidak lekang mendoakan kesihatannya.
“Perkembangan terkini, Alhamdulillah tahap oksigen saya 96 peratus. Tekanan darah pula 136/82, cantik sangat.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang mendoakan kesembuhan saya,” katanya menerusi Instastory.
Semalam, pelantun lagu Harapan itu turut berkongsi perkembangan kesihatannya yang dilihat semakin baik menerusi satu video yang dimuat naiknya.
“Alhamdulillah, beransur pulih dan nampak perkembangan. Sabar ya semua, Alhamdulillah saya sangat okey. Terima kasih atas doa semuanya,” tulisnya.
Media melaporkan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) yang dilakukan semalam mendapati kira-kira 75 peratus paru-paru Fazli rosak akibat Covid-19.
Fazli juga mengakui terkejut dengan keputusan imbasan itu sebaik dimaklumkan doktor kepadanya.
Sebelum ini, Fazli telah dikejarkan ke hospital selepas paras oksigen dalam tubuh badannya menurun ke paras 75 peratus.
Kemudian, dia dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) bagi meningkatkan kembali tahap oksigen dalam tubuh badannya. – Malaysiapost