Selamat menjalankan amanah Datuk Seri, ucap Hisham kepada Ismail Sabri
DATUK Seri Hishammuddin Hussein mengucapkan selamat menjalankan amanah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Ahli Parlimen Sembrong itu berkata apa yang penting dalam pelantikan Ismail Sabri adalah kestabilan politik negara.
“Tahniah YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang telah diumumkan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.
“Saya telah sebut beberapa hari lepas, perkara terpenting yang negara perlukan ketika ini ialah kestabilan.
“Ia demi membolehkan negara kembali menumpukan terhadap usaha menangani krisis #COVID19, memulihkan ekonomi serta membela kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Hishammuddin berkata, beliau sedia membantu Ismail Sabri sebaiknya menerusi apa jua kapasiti yang ada demi kepentingan negara tercinta.
“Selamat menjalankan amanah Datuk Seri. Semoga Allah SWT merahmati ketentuan ini. Amin Ya Rabbal Alamin,” katanya. – Malaysiapost